Tuesday, July 22, 2014

61 Permit Tambahan Untuk Pengusaha Bas Ekspres Utara


Pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah mengeluarkan 61 permit bas tambahan kepada pengusaha bas ekspres di Pulau Pinang, Perlis dan Kedah untuk perjalanan ke pantai timur, Kuala Lumpur dan selatan.

Permit tambahan ini dikeluarkan bagi menampung permintaan pengguna bas ekspres sempena musim perayaan Aidilfitri nanti. Dijangka seramai 2,680 penumpang akan menggunakan perkhidmatan bas tambahan itu.

Bila tiba musim perayaan begini, pengguna bakal mengalami kesulitan untuk mendapatkan tiket bas pulang ke kampung kerana kekurangan bas. Oleh yang demikian tindakan responsif SPAD ini adalah bertepatan bagi mengisi kekurangan yang ada supaya pengguna dapat pulang berhari raya bersama keluarga.

Ketua Wilayah Utara SPAD, Mohd Tarmizi memberitahu media bahawa para pengusaha boleh menjual tiket seperti biasa dan jika ada keperluan, permit bas tambahan boleh dipohon untuk perjalanan antara 19 Julai hingga 4 Ogos.

Diharap pihak pengusaha bas ekspres dapat memastikan perkhidmatan yang disediakan memenuhi piawaian keselamatan minimum yang ditetapkan ICOP-SHE SPAD. Ini kerana beberapa siri kemalangan ngeri melibatkan bas ekspres telah berlaku disebabkan kecuaian pemandu atau kelemahan mekanikal bas terbabit.




Antara salah laku yang sering dilakukan oleh pemandu bas adalah menggunakan telefon bimbit ketika memandu, menghisap rokok, memandu laji dan memotong garisan berkembar.

No comments:

Post a Comment