Saturday, March 7, 2015

Tiong Lai Selami Keperluan Generasi Muda Di Kampung


Penghijrahan generasi muda dari kampung ke bandar merupakan fenomena normal memandangkan keperluan seperti peluang perkerjaan lebih luas di kawasan bandar. Dalam jangkamasa panjang perkara ini telah menimbulkan ketidakseimbangan pada sudut kependudukan serta pertumbuhan ekonomi negara.

Ia jelas kelihatan dimana keadaan kampung kekal kekampungan manakala bandar pula terus berkembang maju dengan limpahan kepelbagaian cabang ekonomi. Secara tidak sengaja kawasan kampung terus terhad dengan kemudahan dan pilihan pekerjaan yang tidak serasi dengan generasi muda. 

Generasi muda sekarang bukan lagi membesar dalam persekitaran yang dikelilingi pertanian, perikanan dan lombong sahaja. Oleh itu petani, nelayan dan pelombong bukan lagi pilihan utama karier golongan ini. Mereka ini lebih condong kepada profesion kolar putih dan biru yang menggunakan medium teknologi terkini.

Jadi tidak hairan generasi muda berlumba-lumba ke bandar kerana peluang kerja sebegitu amat banyak di sana. Perkara ini mendapat perhatian Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang merasakan satu usaha perlu dilakukan bagi memastikan keperluan generasi muda direalisasikan di kawasan kampung.

Dalam ucapannya di Sungai Gapoi baru-baru ini, Tiong Lai mencadangkan satu program berkaitan ekonomi mesti diadakan di kawasan kampung agar generasi muda dapat memainkan peranan dalam memajukan kampung mereka. Projek berskala mikro perlu diterapkan supaya banyak peluang pekerjaan yang bersesuaian wujud buat generasi muda ini.

Transformasi kampung di negara China boleh dijadikan contoh kerana mereka di sana telah berjaya mengubah banyak kawasan perkampungan yang berteraskan pertanian menjadi bandar-bandar kecil dengan berbagai-bagai latar belakang industri. Bukan suatu yang mustahil buat Malaysia dan kita juga mampu lakukannya dengan menggerakkan industri kecil-kecilan di kampung sebagai permulaan.

Setiap kemajuan bermula dengan satu langkah kecil. Jadi jangan kita akhirkan perancangan memajukan kawasan kampung di atas kertas semata-mata. Tindakan susulan perlu dilakukan kadar segera dan perisik percaya pihak MCA mampu menjadi perintis mengusahakan langkah mentransformasikan kawasan kampung-kampung baru menjadi sebuah bandar yang mesra belia.

No comments:

Post a Comment